Tiada stok vaksin luput dibekalkan ke PSV dan PPV

0
8
Vaksin Sinovac diberikan kepada penerima vaksin COVID-19 sempena Program Vaksinasi Bergerak Wilayah Prihatin di PPR Perkasa, Jalan Cochrane. Foto / FaridJanudin

CYBERJAYA –  Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada stok vaksin yang luput dibekalkan kepada  Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Norhaliza A. Halim berkata, KKM sentiasa memantau bekalan dan tarikh luput vaksin Covid-19 yang diterima oleh PSV dan PPV.

Katanya, pemantauan itu dilakukan dengan menggunakan Sistem Pengurusan Vaksin (VMS) selain sistem inventori sedia ada yang terdapat di fasiliti terlibat dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Berdasarkan semakan, tiada stok vaksin yang luput dibekalkan kepada PSV atau PPV,” katanya dalam kenyataan merujuk kepada beberapa kiriman dan video yang dimuat naik dan ditularkan di media sosial berhubung dakwaan vaksin Covid-19 yang diberikan kepada penerima, sama ada telah luput atau hampir luput.

Norhaliza menjelaskan, penentuan jangka hayat produk farmaseutikal termasuk vaksin Covid-19 ditetapkan berdasarkan ujian kestabilan produk vaksin yang dijalankan pengilang pada masa nyata untuk suhu penyimpanan tertentu.

“Tempoh jangka hayat vaksin akan berubah sekiranya terdapat perubahan suhu penyimpanan dan tarikh luput baharu diberikan kepada produk tersebut berdasarkan permohonan pelanjutan jangka hayat yang dikemukakan pengilang kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk dinilai.

“Pelanjutan tempoh jangka hayat produk vaksin tersebut hanya akan diluluskan setelah hasil penilaian dapat mengesahkan ia memenuhi keperluan regulatori.

“Malah, ini juga terpakai kepada semua produk farmaseutikal lain yang sedia berdaftar,” katanya.

Menurut Norhaliza, NPRA meluluskan permohonan pelanjutan jangka hayat bagi vaksin Comirnaty (Pfizer) daripada enam kepada sembilan bulan, vaksin CoronaVac (Sinovac) keluaran China (daripada sembilan kepada 12 bulan) dan vaksin CoronaVac (Sinovac) keluaran Pharmaniaga Lifescience, Malaysia (daripada enam kepada 12 bulan).

Beliau berkata, NPRA juga meluluskan pelanjutan tempoh jangka hayat bagi produk vaksin Convidecia dari enam kepada 12 bulan pada 17 Dis tahun lepas.

“KKM komited memastikan semua produk farmaseutikal termasuk vaksin COVID-19 yang dibekalkan kepada penduduk dinilai dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

“Penilaian manfaat risiko bagi vaksin COVID-19 yang diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat dilaksanakan secara berterusan berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here