
CYBERJAYA – Selepas lebih tiga tahun terbengkalai, rata-rata penduduk di sekitar Bandar Saujana Putra (BSP) melahirkan perasaan teruja untuk melihat sekolah menengah kebangsaan (SMK) di kawasan itu yang siap sepenuhnya dibina pada awal minggu ini dapat beroperasi pada penggal baharu persekolahan, Mac ini.
SMK Bandar Saujana Putra yang dikategorikan sebagai projek ‘sakit’ sejak 2019, siap sepenuhnya selepas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berjanji untuk memulihkan sekolah terbengkalai di seluruh negara.
Pemerhatian Malakat Tribune selepas Menteri Pendidikan itu membuat hantaran menerusi laman Facebook miliknya semalam selepas melawat sekolah tersebut mendapati ibu bapa melahirkan kesyukuran selepas lama menunggu akhirnya SMK Bandar Saujana Putra siap sepenuhnya.
Hantaran itu juga mendapat sambutan daripada penduduk sekitar dan pengguna media sosial apabila mendapat lebih 1,700 tanda suka, 244 komen dan 187 perkongsian setakat pukul 1 tengah hari tadi.
“Alhamdulilah. Bertahun-tahun bersesak, berpenat lelah keluar seawal jam 6 pagi untuk hantar anak ke sekolah. Kini mungkin parents boleh menarik sedikit nafas lega dan kurangkan masalah kesesakan pagi-pagi yang bermula seawal jam 6.15 pagi. Tahniah kepada warga BSP,” komen pengguna akaun yang dikenali sebagai Ekyn Baharudin.

“Terima kasih YB! Kami teruja mendengar berita ni. Lama menanti, daripada anak-anak kecil sampai dah sekolah menengah dah tiga orang” komen seorang penduduk yang dikenali sebagai Norhayati Bt Abdullah.
“Alhamdulillah, senanglah nanti penduduk BSP. Kalau tak jauh juga nak berulang. Kenangan semasa berada di sana, seawal jam 6 pagi anak dah menunggu van sekolah,” komen seorang pengguna Facebook bernama Noor Riah Mohd Nor.
“Alhamdulillah. Syukur sangat bagi pihak penduduk BSP. Akhirnya, siap juga sekolah menengah ini. Penantian satu penyeksaan, Kami masih menunggu sekolah rendah kat sebelah itu untuk siap hopefully by this year,” komen Sal Hamzah.

Dalam pada itu, terdapat juga penduduk yang berharap sekolah rendah yang turut terbengkalai dapat disiapkan segera.
“Yang diharapkan sekolah rendah disiapkan dulu YB, kesian anak-anak yang kecil bangun seawal 5 pagi untuk menghadap jalan sesak dan yang mana bersekolah di sesi petang sampai ke rumah jam 8 malam,” komen seorang penduduk dikenali sebagai Nazarul Azuan.
“Harap sekolah rendah cepat siap YB. Jauh saya hantar dari BSP hantar ke SK Alam Megah. Kalau sekolah rendah dah siap nanti dua anak saya boleh transfer ke sekolah kebangsaan dah,” komen Danial Mc.


“Terbaik YB KPM, akhirnye penantian akan berakhir, cuma pandangan saya, di BSP lebih memerlukan sekolah rendah memandangkan ibu bapa disini dikalangan warga pertengahan umur yg rata-rata mempunyai anak yang masih kecil, harapan agar sekolah rendah juga dipercepatkan prosesnya,” komen Wan M’sia.