Tidak tahan tekanan, Lee Zii Jia tinggalkan BAM

0
253
Lee Zii Jia

CYBERJAYA – Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia membuat keputusan nekad untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bergerak secara profesional.

Perkara itu disahkan oleh Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria hari ini.

Menurut Norza, Zii Jia memberikan alasan tidak boleh tahan terhadap tekanan.

“Dia mahu mencapai apa yang dia inginkan dengan cara dia sendiri. Kita hormati pandangan semua orang, namun kita ada sebuah institusi dan sebab itu saya memanggil mesyuarat Ahli Majlis BAM pada 17 Januari untuk mendengar permasalahan yang kita hadapi ini kerana dia adalah aset utama kita.

“Sudah tentu kita tidak mahu lihat masa depan dia tidak dipersia-siakan. Selepas kita mendengar penjelasan semua pihak, majlis sudah berbincang dan mengeluarkan satu keputusan.

“Namun, kita sudah memberi mandat kepada Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos untuk melihat perkara ini dan akan membuat satu sidang media di ABM (Akademi Badminton Malaysia) Jumaat ini,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing hari ini.

Mengulas lanjut, Norza berkata beliau merasakan masalah Zii Jia bukan dengan BAM tetapi mungkin kerana dia melihat keutamaannya yang lain.

“Saya rasa masalah dia bukan dengan BAM kerana kalau kita lihat Chong Wei bersama BAM 19 tahun. Bila dia sampai kemuncak prestasi, BAM adalah tempat dia menjadi legenda.

“Tapi mungkin keutamaan Zii Jia lain. Apapun kita dengar dulu dan mungkin ada harga yang perlu dibayar selepas memilih untuk bergelar pemain bebas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here