Tidak wajar dedahkan video remaja dihukum mandi seperti jenazah

0
44
Ustaz Masridzi (kanan) bersama Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan dan juga Naib Presiden Kanan Kumpulan Malakat Eco, Adzhar Mohd Noor (kiri) ketika meninjau bangunan Brainy Bunch International Islamic Montessori School (BBISKL) di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Tindakan sebuah masjid yang memandikan seorang remaja lelaki seperti jenazah kerana mencuri tabung masjid bukan satu bentuk deraan tetapi lebih sebagai satu bentuk didikan bagi memberi kesedaran terhadap pelaku terbabit.

Bagaimanapun menurut Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (Perkid), Ustaz Masridzi Sat, beliau tidak bersetuju dengan tindakan merakam dan menularkan video berkenaan.

Katanya, ini kerana tindakan mendedahkan rakaman video tersebut adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku kerana ia membuka ruang bagi fitnah.

“Saya kurang bersetuju dengan pendedahan video tersebut. Saya akui, perlakuan di dalam video itu bukan bentuk deraan, tapi bagi mendidik.

“Ia lebih sesuai dilakukan lingkungan yang tertutup dan tidak didedahkan kepada umum,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune hari ini.

Ustaz Masridzi yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam memulihkan akhlak remaja berkata, meskipun ada pihak yang beranggapan tiada harapan lagi untuk memulihkan mana-mana individu yang terlibat dalam masalah sosial, ia sebenarnya boleh dilakukan dan tidak mustahil sekiranya dibimbing dengan betul.

“Kebanyakan masalah akhlak yang berlaku sekarang adalah berpunca daripada pengaruh suasana termasuk rakan-rakan.

“Jika remaja bermasalah itu kita dedahkan dengan suasana yang positif dan penuh bimbingan agama secukupnya, insya-Allah mereka akan tinggalkan perangai tidak baik mereka itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan perasaan sedih berikutan keadaan institusi keluarga kini yang dilihat terlalu lemah dalam mengawal perlakuan anak-anak.

Justeru, beliau menggesa supaya masyarakat setempat turut bersama-sama membantu bagi menyokong dan menyelamatkan anak-anak yang terbiar disebabkan berlakunya masalah dalam keluarga.

“Oleh sebab itu, anggota komuniti perlu ada rancangan alternatif untuk menyokong keluarga yang ‘gagal’.

“Antaranya, mengenal pasti remaja yang bermasalah itu dan masukkan mereka ke pusat pemulihan akhlak,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here