
CYBERJAYA – Transaksi pembayaran tol dengan menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan bermula 15 Januari ini di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) bermula pukul 10 malam.
Plus berkata, pihaknya menyediakan sekurang-kurangnya satu lorong RFID di semua 83 plaza tol yang terdapat di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.
“Pada ketika ini terdapat kira-kira 1.5 juta pelanggan lebuh raya yang menggunakan RFID Touch ‘n Go untuk membayar tol di kebanyakan lebuh raya lain khususnya di Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, pelekat RFID Touch ‘n Go dijual dengan harga RM35 di pusat pemasangan RFID yang sah di seluruh negara dan juga secara atas talian.
Katanya, untuk maklumat lanjut berhubung RFID boleh layari laman web http://rfid.plus.com.my.