Tren tidak berhenti: KTMB gantung tugas kakitangan

0
29
Gambar hiasan KTMB.

CYBERJAYA – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggantung tugas kakitangannya berhubung insiden tren tidak berhenti di hentian Kuala Gris di Kuala Krai, Kelantan yang menyebabkan 100 pelajar tidak dapat ke sekolah awal pagi ini.

KTMB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang menyiasat perkara itu dan akan mengenakan tindakan disiplin sewajarnya jika dapat unsur kecuaian.

KTMB dalam kenyataan sama turut mengesahkan kereta api Shuttle Timuran nombor 51 yang berlepas dari Stesen Tumpat pada jam 4.05 pagi tadi, tidak berhenti di Hentian Kuala Gris pada jam 7.08 pagi.

“KTMB memandang serius dan kesal dengan kejadian itu. Lebih kesal lagi, ia membabitkan 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong yang baru memulakan semula sesi persekolahan, hari ini.

“Justeru, KTMB memohon maaf kepada pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah yang terbabit, serta kesal atas kejadian yang berlaku,” katanya.

Media hari ini melaporkan kekecewaan pelajar pada hari pertama persekolahan penggal ketiga 2021/2022 apabila kereta api tidak berhenti di hentian berkenaan.

Kejadian itu menyebabkan kesemua pelajar terbabit tidak dapat ke sekolah dan terpaksa pulang semula ke rumah masing-masing.

Sementara itu di Hentian Kuala Gris, Ketua Pegawai Operasi, Mohd Zain Mat Taha berkata, siasatan berhubung insiden itu akan mengambil masa dua minggu termasuk aspek teknikal dan operasi kereta api berkenaan.

Beliau berkata, penggantungan tugas melibatkan empat orang iaitu pemandu, pembantu pemandu, supervisor dan pemeriksa tiket.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here