
CYBERJAYA- Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah menanggalkan papan tanda jalan di Jalan Dana Permai dan Jalan Damai yang terdapat kesalahan tulisan jawi.
MPKj dalam hantaran di laman Facebooknya turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk kawasan berkenaan yang telah membuat aduan berhubung kesilapan berkenaan.
“Pihak MPKj telah mengambil tindakan berkaitan gambar papan tanda yang tular dan telah menanggalkan semula papan tanda tersebut.
“Terima kasih kepada penduduk yang telah membuat aduan,” katanya sebagai reaksi berhubung kesilapan tulisan jawi di papan tanda jalan di Jalan Dana Permai dan Jalan Damai yang tular hari ini.
Terdahulu hari ini, Malakat Tribune melaporkan terdapat tulisan jawi pada papan tanda jalan di Jalan Dana Permai dan Jalan Damai di kawasan Residensi Permai dan Residensi Aman di Bandar Teknologi Kajang di sini mengundang persoalan ramai.
Ini kerana, walaupun secara terang-terangan tulisan jawi di tiga papan tanda jalan di kawasan berkenaan terdapat kesilapan iaitu ejaan terbalik dan huruf tidak bersambung, ia tetap tidak perbetulkan.
Malah lebih meragukan, papan tanda berkenaan tetap mendapat kelulusan dari MPKj kerana logo pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut diletakkan bersama-sama panda tanda jalan berkenaan.