UiTM jalin kerjasama dengan Perkeso perkasa OKU

0
26
Pertukaran memorandum persefahaman di antara Dr. Roziah (kiri) dan Timbalan Ketua Eksekutif Perkeso, John Riba Marin, di UiTM Shah Alam hari ini untuk kerjasama Return to University (R2U).

CYBERJAYA – Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan memperkasakan usaha mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat bagi golongan Orang Kurang Upaya(OKU) khususnya di institusi pengajian tinggi.

Naib Canselor UiTM, Prof. Ts. Dr Roziah Mohd Janor berkata, pada masa yang sama kerjasama antara Perkeso dengan Hospital UiTM juga akan menyediakan perkhidmatan rehabilitasi untuk golongan itu.

“Menerusi MoU ini, program-program yang dapat memberikan persekitaran yang lebih inklusif, kondusif dan selamat kepada warga OKU UiTM untuk kembali bekerja dan belajar turut dibangunkan.

“Antaranya melalui Program Return to University (R2U)yang diadaptasi daripada Program RTW PERKESO secara langsung akan dapat membantu warga UiTM yang cedera, menghidapi penyakit serta golongan OKU untuk kembali bekerja atau belajar lebih awal.

“Program R2U ini merupakan program pertama seumpamanya diwujudkan di institusi pengajian tinggi di Malaysia,” katanya pada majlis MoU di UiTM Shah Alam hari ini.

Kerjasama itu adalah antara gerak kerja lanjutan daripada Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif OKU di Institusi Pengajian Tinggi yang bertujuan untuk menjadikan institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia lebih inklusif dan mesra kepada semua terutamanya golongan OKU di Malaysia.

Dr. Roziah berkata, dengan kemahiran dan maklumat daripada Perkeso sebagai sebuah organisasi yang berperanan dalam memperbaiki keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kerjasama ini dapat melebar luas ruang untuk UiTM melaksanakan lebih banyak penyelidikan dan penerbitan terutamanya yang mengkhusus kepada pengurusan hilang upaya.

Tambahnya, pembangunan warga OKU UiTM harus diberi penekanan secara keseluruhannya iaitu yang merangkumi mahasiswa OKU, staf OKU dan staf yang mempunyai tanggungan OKU.

“Dalam konteks ini, UiTM telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Unit Perkhidmatan OKU UiTM (UPOUiTM) dan sekaligus menjadi universiti awam pertama di Malaysia yang meletakkan unit perkhidmatan OKU di bawah pentadbiran Pejabat Naib Canselor,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kerjasama ini bukan sahaja dapat melahirkan lebih ramai ahli masyarakat yang fahamakan konsep pengurusan hilang upaya,malah turut mempunyai kecerdasan emosi (EQ) yang tinggi seperti sifat empati dan prihatin dalam menjalankan program dengan lebih efisien dan efektif.

Kerjasama ini juga dapat memberi pendedahan awal mengenai pengurusan hilang upaya di Malaysia kepada golongan mahasiswa pelapis pemimpin masa hadapan negara.

Pemeteraian MoU yang berlangsung di UiTM Shah Alamini adalah antara gerak kerja lanjutan daripada Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif Orang Kurang Upaya(OKU) di Institusi Pengajian Tinggi yang bertujuan untuk menjadikan institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia lebih inklusif dan mesra kepada semua terutamanya golongan OKU di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here