Ujian RTK-Antigen murid tidak perlu dibuat di sekolah, hanya lakukan di rumah

0
33
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Pemberian kit ujian pantas (RTK-Antigen) air liur melibatkan pelajar di sekolah harian akan dilaksanakan di rumah mulai minggu ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kit ujian itu akan dibekalkan sekolah kepada murid yang dipilih untuk melaksanakan ujian itu.

Katanya, keputusan ujian itu perlu dimaklumkan oleh ibu bapa dan penjaga kepada pihak sekolah.

“Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju ujian kendiri itu dibenarkan dilaksanakan di rumah selepas perbincangan dengan KPM mengenai pendekatan pelaksanaan ujian saringan itu,” katanya dalam satu video di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Radzi berkata, KPM akan mengeluarkan kenyataan susulan menjelaskan perkara itu.

Katanya, bagi ibu bapa yang mana anak mereka terpilih menjalani ujian itu, mereka dinasihatkan mengikuti tata cara yang ditetapkan bagi memastikan sesi persekolahan berlangsung teratur dan selamat.

“Jika ia tidak dilaksanakan mengikut tatacara ditetapkan, yang terkesan bukan sahaja anak-anak saudara saudari tetapi kawan-kawan dan guru mereka di sekolah.

“Adalah penting apabila kita mulakan pelaksanaan pendekatan baharu ini nanti, ibu bapa memainkan peranan supaya ujian ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM,” katanya.

Katanya lagi, langkah terbaharu itu bagi memastikan sesi persekolahan berlangsung secara teratur dan selamat sebagaimana semua pihak termasuk ibu bapa inginkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here