UMNO putus hubungan dengan Pas di Kelantan

0
100
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub

KOTA BHARU – UMNO Kelantan memutuskan untuk tidak lagi mengadakan kerjasama dengan Pas negeri itu melalui Muafakat Nasional (MN) berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, keputusan itu dibuat berikutan Pas Kelantan yang masih menjalin kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tetap memilih parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, keputusan berkenaan mencapai kata sepakat daripada ahli UMNO negeri selepas mengadakan mesyuarat khas dengan Pas negeri di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob.

“Pendirian ini dibuat dengan rasa yang sedih kerana kita akan mengharungi jalan berliku secara solo.

“Terus terang di sini, pihak pimpinan Pas Kelantan meminta kepada kita untuk menangguhkan dulu keputusan yang dibuat ini.

“Tetapi saya selaku pemimpin Umno di Kelantan mengambil risiko dengan membuat keputusan ini. Saya menganggap ini bukan saja keputusan badan perhubungan, tetapi ia juga keputusan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat di Kelantan yang sudah sekian lama melihat dan memerhatikan kedudukan politik Umno, Pas dan lain-lain parti di negeri ini,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Beliau juga menegaskan selagi mana Pas di peringkat negeri dan pusat memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, maka selama itulah tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Kelantan akan memberi sokongan kepada kerajaan negeri.

Ahmad Jazlan berkata, demi kestabilan politik dan menghormati keputusan demokrasi yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya yang lalu, maka biarlah kerajaan negeri mengurus tadbir rakyat Kelantan tanpa ada apa-apa tekanan.

“Walaupun tidak lagi bekerjasama dengan Pas, namun UMNO akan tetap memberi sokongan kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar Kelantan.

“Sekiranya ada apa-apa yang berkaitan termasuk berkepentingan dengan asas agama, rakyat dan bangsa, kita boleh duduk bersama.

“Ia juga termasuk sekiranya di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), jika ada usul dan pindaan-pindaan yang hendak dibawa, saya jamin kesemua ADUN UMNO akan memberi sokongan,” katanya.

Pada perkembangan yang lain, Ahmad Jazlan berkata, UMNO juga membuat keputusan untuk bertanding di semua 45 kerusi DUN dan 14 kerusi Parlimen di Kelantan pada PRU-15.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here