
JOHOR BAHRU – Langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberikan laluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan merupakan langkah terbaik dan paling tepat dalam mengembalikan kestabilan di negeri itu.
EXCO Pemuda UMNO, Bastien Onn berkata, tuduhan pihak pembangkang bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) gila kuasa dan tidak memahami kesusahan rakyat kerana masih mahu mengadakan PRN adalah sengaja direka.
Sebaliknya, Bastien berkata, pembangkang sendiri mengetahui sejak pemergian bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian daripada Bersatu, perbezaan kerusi DUN hanya satu kerusi dan boleh dimanipulasi bila-bila masa oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Bagaimana Pakatan Harapan (PH) boleh menuduh UMNO gila kuasa sedangkan parti ini sedang memerintah dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menyerahkan kuasa kepada rakyat untuk memilih siapa yang mereka kehendaki mentadbir negeri ini.
“Pemergian Allahyarham Datuk Osman secara tidak langsung telah mewujudkan ketidakstabilan dari segi kedudukan di dalam DUN.
“Jangan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong buat-buat tidak faham perkara ini. Kerajaan pimpinan Hasni hari ini bergantung kepada majoriti tipis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Sebelum ini, PH Johor kekal dengan pendirian bahawa PRN negeri itu adalah dipaksakan dan mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat.
Ketua Pembangkang Johor, Aminolhuda Hassan yang juga Pengerusi PH, Johor, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Chin Tong menegaskan, ketika ini bukan masa yang sesuai untuk pilihan raya, tatkala isu virus Covid-19, varian Omicron, bencana banjir, isu ekonomi dan sebagainya belum diselesaikan sepenuhnya.
Dalam pada itu Bastien mempersoalkan, bagaimana kerajaan hendak berfungsi sekiranya di dalam persidangan Dewan Negeri kelak ada ADUN dari kerajaan yang tidak dapat hadir untuk mengundi Rang Undang-Undang (RUU) atas pelbagai sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Kerajaan akan menjadi lumpuh sekiranya pembentangan bajet atau RUU yang melibatkan rakyat tidak dapat diluluskan kerana ketidakhadiran seorang sahaja di pihak kerajaan.
“Situasi itu akan menyukarkan kerajaan negeri Johor untuk menjalankan urusannya terutama berkaitan isu kesihatan, ekonomi dan pendidikan.
“Ini adalah langkah menstabilkan kerajaan bagi memberi khidmat kepada rakyat. Barisan Nasional (BN) menyerahkan kepada rakyat untuk menentukannya,” ujarnya.
Hasni sebelum ini dilaporkan berkata, BN Johor bercadang bertanding tanpa kerjasama parti lain di luar gabungan itu kerana yakin menang dua pertiga daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN akan datang.
Namun katanya, keputusan itu tertakluk kepada pucuk pimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.
Dalam pada itu Ketua Pemuda UMNO Sekijang, Mohd Nor Saidil Ibrahim berpendapat, PRN Johor kali ini amat menarik kerana buat pertama kalinya akan melibatkan penyertaan Undi18.
“Kami pemimpin dari kalangan Pemuda UMNO mengalu-alukan kedatangan mereka untuk menyertai demokrasi kali ini,” katanya.
Pada Isnin, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu akan bertanding sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi pada PRN Johor.
Jelasnya, perbincangan mengenai kerusi tersebut masih belum diadakan, namun itu sasaran parti setakat ini.