UPM jawab isu graduan PhD terlalu ramai

0
475
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini menyangkal kenyataan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin yang mempersoalkan keupayaan universiti itu menghasilkan jumlah graduan Doktor Falsafah (PhD) yang disifatkan terlalu ramai.

Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM dalam satu kenyataan hari ini berkata, kenyataan pemimpin PKR itu bukan sahaja tidak berasas bahkan menggunakan rujukan dari sumber mengelirukan dan tidak tepat.

“Berkaitan dengan dakwaan penulis bahawa universiti terkemuka dunia yang hanya mengeluarkan tidak lebih daripada 20 graduan setahun.

Dakwaan ini adalah tidak benar kerana berdasarkan maklumat yang diperolehi dari laman web rasmi, Massachusetts Institute of Technology (MIT) pada tahun 2020 telah mengeluarkan 563 graduan Ph.D., manakala Harvard University telah mengeluarkan 572 graduan Ph.D,” katanya.

Dalam penjelasan itu UPM berkata, dengan 1,649 tenaga akademik berkelulusan PhD, UPM mempunyai kapasiti yang cukup untuk menyelia pelajar-pelajarnya.

Tambahnya, kaedah pengajian peringkat PhD di universiti itu juga melebihi syarat minimum yang telah ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi memastikan kualiti para graduan.

Katanya, tempoh pengajian PhD yang ditetapkan adalah dalam lingkungan 3 hingga 5 tahun yang mana pelajar wajib membuat penyelidikan dan mengikuti minima 12 jam kredit kursus.

“Pelajar perlu membuat pembentangan cadangan penyelidikan dan lulus Peperiksaan Komprehensif yang dinilai oleh panel sebelum tahun kedua bagi melayakkan mereka untuk meneruskan pengajian.

“Pelajar juga perlu menghasilkan tesis yang merupakan syarat wajib lulus untuk dianugerahkan Ph.D.

Selain itu katanya, setiap pelajar juga perlu melepasi penilaian tesis oleh sekurang-kurangnya tiga panel penilai terdiri dari dua penilai dalaman dan seorang lagi luar negara.

Selain itu, Senat UPM juga menetapkan dua penerbitan jurnal berindeks (Citation Indexed Journal) sebagai syarat bergraduat bagi memastikan kualiti penyelidikan graduan Ph.D. yang dihasilkan.

Untuk rekod, majlis konvokesyen ke-44 UPM yang diadakan baru-baru ini melibatkan seramai 398 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), sarjana (1,093 orang), sarjana muda (3,544 orang) dan diploma (660 orang).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here