Vaksin CanSino diberi kelulusan bersyarat sebagai dos penggalak

0
21

CYBERJAYA – Vaksin Covid-19 dos tunggal keluaran CanSino, Convidecia, telah memperoleh kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Malaysia (PBKD) bagi digunakan sebagai dos penggalak (booster).

Laporan Bernama menyebut, kelulusan itu membolehkan vaksin CanSino digunakan pada mereka yang berumur 18 tahun ke atas, tiga hingga enam bulan selepas menerima dos pertama vaksin CanSino.

Solution Group Bhd. melalui anak syarikatnya, Solution Biologics Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan berkata, PBKD yang berada di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah bersetuju untuk Convidecia digunakan sebagai dos penggalak.

Untuk rekod, Convidecia ialah vaksin berasaskan vektor adenovirus jenis-5.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd. Nazlee Kamal berkata, kajian menunjukkan bahawa vaksin dos tunggal Convidecia berkesan sebagai dos penggalak terhadap penyebaran varian Covid-19.

Ia menunjukkan peningkatan sekurang-kurangnya lapan kali lebih tinggi meneutralkan paras antibodi, enam bulan selepas menerima dos pertama.

“Dengan kelulusan ini, kami berharap ia akan membantu meningkatkan bilangan dos penggalak yang diuruskan dalam negara untuk membendung penularan tersebut,” katanya.

Kumpulan itu juga sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan NPRA untuk Convidecia digunakan sebagai dos penggalak bagi penerima vaksin utama lain seperti CoronoVac yang juga dikenali sebagai Sinovac.

Solution Biologics telah menghantar sebanyak 3.5 juta dos vaksin Covid-19 itu kepada Kementerian Kesihatan pada Disember 2021.

Pengeluaran tempatan daripada kemudahan ‘fill and finish’ (pengisian dan pembotolan) dijangka akan bermula tidak lama lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here