
PUTRAJAYA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini berkonvoi dari Dataran Putra ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.
Konvoi sebanyak kira-kira 50 buah kenderaan tersebut adalah sebagai tanda protes terhadap kepimpinan SPRM terutamanya Tan Sri Azam Baki yang kini terpalit dengan kontroversi pemilikan saham.
Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pihaknya mahu Azam berundur dari jawatannya supaya integriti SPRM kembali utuh.
“(Apa yang kami buat) Ini mewakili pandangan anak muda yang ingin mempertahankan integriti.
Bagi kita dalam isu ini bukan soal azam baki tetapi beberapa kes (lain yg menjadi pertikaian,” kata Akmal, hari ini.
Antara yang hadir memberi sokongan adalah Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik.
Akmal menambah, pihaknya turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya mempertimbangkan cadangan suruhanjaya tersebut diletakkan di bawah Parlimen.
Beliau turut menyeru supaya Perdana Menteri mengadakan sidang khas Parlimen bagi memperhalusi kepincangan integriti dilihat kini membelenggu SPRM.
“Parlimen akan bersidang pada 20 Januari ini bagi membincangkan isu darurat banjir. Saya jangka PM akan turut berdepan dengan Ahli-Ahli Parlimen yang mahu sidang khas (bincangkan isu SPRM) diadakan juga,” kata Akmal lagi.