[VIDEO] “Hello Türkiye”

0
21

CYBERJAYA – Jabatan Komunikasi Pejabat Presidensi melancarkan kempen yang dinamakan sebagai “Hello Türkiye” bagi menggantikan kata nama ‘Turki’ kepada ‘Türkiye’ di peringkat nasional dan antarabangsa dengan lebih berkesan.

Menurut satu kenyataan oleh Pejabat Kaunselor Media di Kedutaan Turkiye di Kuala Lumpur, kempen yang dijalankan melalui media sosial itu bertujuan untuk menggunakan frasa “Türkiye” bagi mengelakkan warga asing daripada menggunakan nama negara itu dalam sebutan yang berbeza-beza.

Pengarah Jabatan Komunikasi Pejabat Presidensi Fahrettin Altun berkata, Türkiye mengukuhkan identitinya dalam bidang bahasa dan komunikasi, serta pelbagai bidang lain.

“Adalah sangat penting bagi setiap segmen masyarakat kita untuk menunjukkan kepekaan dan sokongan terhadap kempen ini. Penting bagi institusi awam, NGO, ahli akademik, akhbar menggunakan dan menyebut nama negara kita sebagai ‘Türkiye’ dalam kajian mereka, surat-menyurat, aktiviti dan acara yang mereka hadiri.

“Kita boleh mengukuhkan lagi jenama Türkiye di seluruh dunia bersama-sama,” kata Altun dalam kenyataan itu.

Tambah Altun lagi, Pejabat Jenama Türkiye juga akan ditubuhkan bagi mengukuhkan jenama itu, menerusi kerjasama dengan sektor swasta serta institusi dan organisasi awam untuk mengukuhkan identiti jenama global Türkiye, dan menyumbang kepada pembangunan imej negara serta nilai jenamanya.

Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Disember lalu mengeluarkan pekeliling yang menyebut hanya penggunaan frasa ‘Türkiye’ akan digunakan apabila merujuk kepada nama negara di pentas antarabangsa, dan mengatakan ia merupakan langkah penting ke arah memastikan penyatuan dan pengukuhan jenama Türkiye di peringkat global.

Sehubungan itu, satu video promosi turut disediakan sebagai sebahagian usaha mengukuhkan jenama Türkiye, yang dikongsi di akaun media sosial Jabatan Komunikasi.

Video promosi itu memaparkan pelancong asing di pelbagai bandar dan negeri di Türkiye berkongsi mesej mereka dengan menyebut “Hello Türkiye” dalam pelbagai dialek.

Video itu tular di banyak negara setelah dikongsi oleh pempengaruh (influencer) media sosial antarabangsa dengan mengunakan tanda pagar #HelloTürkiye, tambah kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here