
CYBERJAYA – Kelainan yang dibawa Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch menjadi faktor utama yang mendorong ibu bapa memilih sekolah tersebut sebagai tempat pembelajaran anak mereka.
Menurut Adib Kamaruddin, antara faktor yang menyebabkan dia memilih sekolah tersebut adalah kerana pendidikan yang diberikan bukan setakat akademik tetapi turut menekankan aspek keagamaan.

“Kami pilih (Brainy Bunch) kerana sistem pendidikan yang diajar berbeza dari sekolah-sekolah lain.
“Dia lebihkan pada agama, dan memang kita target sekolah ni,” kata Adib.
Adib merupakan salah seorang peserta yang ditemui selepas sesi taklimat yang diadakan khusus bagi semua ibu bapa pelajar yang baharu mendaftarkan diri di sekolah tersebut.
Sementara itu, bagi Hani Shahida pula, dia dan suaminya memang mencari sebuah sekolah yang mana pembelajarannya turut mementingkan aspek-aspek lain kehidupan.

“Bukan (kami) tak pentingkan pendidikan, tapi kami juga mahukan anak-anak kami mempunyai (kualiti) aspek lain seperti spritiual dan kreativiti,” kata Hani yang sebelum ini menetap di United Kingdom (UK).
“Saya mahukan anak-anak kami menjadi manusia yang holistik, dan mempunyai sifat empati pada individu lain.
“Saya harap Brainy Bunch mampu wujudkan suasana yang saya harapkan dan dapat membentuk mereka seperti yang kami harapkan,” kata Hani lagi.