Video tular KJ tolak ‘booster’ rakaman lama, jelas KKM

0
1968
Tangkap layar video yang mendakwa Khairy Jamaluddin menolak pemberian dos penggalak

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan sebuah video sidang media yang tular melibatkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung dos ketiga di media sosial adalah video lama yang dirakam pada 20 September tahun lalu.

Menurut KKM, video itu dipetik daripada sidang media Menteri Kesihatan itu ketika dalam rangka lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama Pengerusi Malaysia Airports Bhd (MAHB) Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Katanya, sidang media itu dilakukan selepas mereka meninjau perkhidmatan saringan Covid-19 di KLIA.

“Pada waktu itu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi dos pertama dan dos kedua masih giat dilaksanakan.

“Kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa ketika itu adalah 79.6 peratus, masih belum mencapai sasaran 90 peratus populasi dewasa.

“Aktiviti rentas negeri masih belum dibenarkan manakala aktiviti keluar masuk negara juga masih dikawal ketat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut KKM lagi, pemberian booster secara menyeluruh juga belum lagi bermula pada September 2021.

Jelasnya, pemberian dilaksanakan secara berperingkat dengan memberikan keutamaan pada ketika itu kepada golongan rentan terdiri daripada warga emas, mereka yang ada ko-morbid dan golongan yang terdedah kepada rsiko jangkitan.

“Hanya setelah majoriti golongan tersebut telah menerima booster, barulah vaksinasi booster dibuka kepada populasi awam yang layak.

“Pemberian booster ini diperlukan berdasarkan perkembangan semasa pemantauan keberkesanan vaksin serta cabaran yang dihadapi dengan kemunculan varian-varian baru virus Covid-19.

“Banyak negara yang tawarkan booster kepada populasi dewasa mereka seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Thailand, Indonesia, dan Singapura,” katanya.

Terdahulu tular video berdurasi 44 saat apabila Khairy berkata dos penggalak ditawarkan kepada warga emas dan terdedah kepada risiko jangkitan.

Malah, dalam video itu juga Khairy menjelaskan dirinya tidak perlu lagi mengambil dos penggalak itu kerana masih muda dan tidak mempunyai ko-morbid yang tidak memerlukan mengambil dos berkenaan setakat ini.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here