
KUALA LUMPUR – Perbentangan Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen ke-14 Dewan Rakyat hari ini panas apabila Perdana Menteri menegur segelintir wakil rakyat Selangor yang ‘hilang’ ketika banjir pada 17 Disember lalu.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu disedari sendiri oleh beliau sepanjang terlibat dalam pemantauan dan kunjungan ke lokasi-lokasi terjejas akibat banjir.
Beliau berkata, semasa kunjungan ke lokasi banjir sejak daripada awal bencana itu berlaku di Selangor, ada Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak kelihatan.
“Hari pertama banjir pun saya sudah keluar berada di lapangan, cuma saya tidak tahulah rakan-rakan lain, sebab saya tidak nampak MP dan ADUN bekerja waktu itu.
“Ada beberapa AP yang dianggap hilang ketika itu,” katanya di Dewan Rakyat pagi ini.
Menjawab tuduhan tidak turun padang yang dilemparkan oleh pembangkang, Ismail Sabri berkata, beliau terlibat dalam operasi banjir sejak daripada malam pertama.
“Saya telah melakukan tinjauan situasi dan juga proses pemindahan banjir di Kampung Bukit Lanchong, Putra Height sehingga lewat pagi,” katanya.
Kenyataan itu mencetuskan bantahan wakil rakyat pembangkang didahului oleh Khalid Samad (PH-Shah Alam); P Prabakaran (Batu); Su Keong Siong (Kampar) dan Mohamad Sabu (Kota Raja).
Keadaan menjadi semakin tegang dengan tindakan wakil rakyat pembangkang mengetuk meja dan membidas kenyataan Ismail Sabri mengritik pengurusan banjir di Selangor.
“Perdana Menteri tidak boleh menyindir seperti itu,” kata Salahuddin Ayub (PH-Pulai).