
CYBERJAYA – Wanita UMNO memberi amaran bahaya dan hukuman yang akan diterima daripada pengundi sekiranya parti itu khususnya menerima mana-mana bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lompat parti untuk bertanding di bawah lambang baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Ketua Penerangannya, Datuk Norshida Ibrahim, tindakan itu akan menyebabkan keyakinan rakyat hilang sekali gus menyebabkan parti politik berkenaan berpotensi kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
“Parti yang menerima ADUN yang melompat parti perlu bersedia menerima kesan buruk terhadap imej dan keutuhan partinya berikutan beberapa pemimpin mereka melompat parti atau “lompat katak”.
“Kebanyakkan pemimpin melompat parti kerana masalah peribadi termasuk masalah kewangan, gagal dapat apa yang dihajati daripada parti, tiada kerjasama daripada anggota parti dan gagal berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.
Dalam pada itu, Norshida berkata, sejak kebelakangan ini, tindakan melompat parti telah menjadi seperti satu fenomena dan kerap berlaku.
Beliau bekata, meskipun langkah itu disambut baik oleh penyokong mereka, reaksi berbeza akan diberikan oleh majoriti pengundi yang pastinya hilang keyakinan terhadap wakil rakyat tersebut.
“Para pengundi pasti akan lebih berhati-hati untuk menyokong wakil rakyat tersebut pada pilihan raya negeri dan pilihan raya umum yang akan datang.
“Situasi ini sekali gus akan menyebabkan ADUN berkenaan sukar untuk kekal di persada politik tempatan kerana kehilangan sokongan daripada rakyat.
“Walau bagaimanapun, jika tindakan keluar parti ini dilihat sebagai tindakan yang wajar oleh majoriti pengundi di kawasan DUN tersebut maka, peluang untuk wakil rakyat ini dipilih semula masih cerah,” ujarnya.
Semalam, Ketua Bahagian Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang meletak jawatan ketua bahagian, sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Mazlan yang juga ADUN Puteri Wangsa dan bekas Pengerusi Bersatu Johor, berkata beliau tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyatakan sokongan kepada kerajaan BN.
Sementara itu, terdapat juga khabar angin tiga wakil rakyat BN daripada UMNO yang melompat parti ke Bersatu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu berhasrat untuk menyertai semula UMNO.
Bagaimanapun, hasrat itu mendapat tentangan daripada Pemuda UMNO Johor yang membangkang keras hasrat ‘katak politik’ itu.