Warga Iran dalang pemalsuan passport ditahan

0
19
Lelaki warga Iran yang dipercayai dalang sindiket pemalsuan passport ditahan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket pemalsuan dokumen dan passport antarabangsa tumpas dalam operasi khas Jabatan Imigresen (JIM) di sebuah premis di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini malam kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuah itu pihaknya berjaya menahan seorang lelaki warga Iran berusia 58 tahun yang dipercayai dalang utama sindiket.

“Suspek yang ditahan ketika menyerahkan dokumen yang telah dipalsukan kepada pelanggan di luar sebuah pasar raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“Hasil semakan lanjut mendapati lelaki yang berkahwin dengan warganegara tempatan itu telah tinggal di Malaysia lebih 30 tahun dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, siasatan lanjut ke atas suspek membawa kepada serbuan di sebuah premis kediaman pangsapuri yang terletak di Bandar Baru Ampang yang dijadikan tempat menyimpan dan memalsukan dokumen.

Beliau berkata, dalam serbuan tersebut JIM menemui lapan passport antarabangsa pelbagai negara, 29 keping pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara yang belum dicetak dan dipercayai palsu, cop Keluar Jabatan Imigresen Malaysia dipercayai palsu, pelbagai jenis cop, 1 unit laptop dan 1 unit mesin pencetak.

Katanya, turut dirampas 24 keping Lesen Memandu Antarabangsa dan wang tunai bernilai RM4000 yang dipercayai berkait dengan aktiviti sindiket ini.

“Modus operandi sindiket adalah dengan mensasarkan pelanggan warga asing khususnya warga Iran yang ingin mendapatkan pas dan dokumen untuk tinggal di negara ini.

“Suspek yang mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi sekeping pas yang dipalsukan itu menerima bayaran secara dalam talian melalui akaun pihak ketiga,” katanya.

Khairul berkata, sindiket tersebut dipercayai telah beroperasi hampir dua tahun dan berselindung di sebalik perniagaan menjual kain cadar tilam berdasarkan iklan yang diletakkan dihadapan premis yang diserbu.

“Ini merupakan kes sindiket pertama yang melibatkan warga Iran sebagai dalang utama sindiket pemalsuan dokumen. Suspek ditahan dan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here