
CYBERJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) telah menerima pengiktirafan dan dianugerahkan Sijil Audit Tanpa Teguran selama empat tahun berturut-turut dalam Audit Pengawasan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015, hari ini.
Menurut Yadim dalam satu kenyataan, pengiktirafan itu diperoleh hasil amalan pengurusan yang baik agensi agama tersebut dalam melestarikan gerakan dakwah.
“Kejayaan untuk kali keempat berturut turut ini dicapai selepas badan dakwah ini selesai diaudit oleh Aja Eqs Certification (M) Sdn. Bhd, hari ini dengan ia telah diselaraskan oleh Unit Audit dan Kualiti Yadim.
“Audit kali ini melibatkan Unit Audit dan Kualiti, Bahagian Akaun, Bahagian Sumber Manusia, Bahagian Pentadbiran, Bahagian Media dan Teknologi Dakwah dan Bahagian Penerbitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, turut terlibat ialah Bahagian Kepimpinan Muda, Bahagian Penyelarasan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Rakan Strategik, Bahagian Khidmat Bakti dan Unit Keurusetiaan.
Sementara itu, katanya, auditor bertanggungjawab kali ini ialah Nur Ain Abd Wahab dan Airina Warshaf.
Katanya, sesi audit seterusnya akan diadakan pada Disember ini.-MT