
CYBERJAYA – Yayasan Brainy Bunch dan Malakat Mall baru-baru ini menyumbang sebanyak RM8,000 kepada Rumah Amal Limpahan Kasih di Puchong, Selangor.
Sumbangan yang disalurkan melalui platform sedekah, SadaqahMarket.Com itu merupakan kutipan mingguan yang dikumpul sebagai sumbangan kepada pengurusan rumah kebajikan tersebut yang terjejas akibat bencana banjir pada Disember lalu.
Kaunselor Brainy Bunch International Islamic Montessori School, Nurul Syahirah Jamalun Shah berkata, sumbangan yang keseluruhannya berjumlah RM8,005.40 itu merupakan kali kedua selepas sumbangan pada tahun lalu.
“Pada setiap hari jumaat Brainy Bunch Counselling Unit dan Students Affairs melancarkan Sadaqah Friday bagi menggalakkan setiap pelajar kami untuk menderma.
“Tujuan utama Sadaqah Friday adalah untuk memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan, bukan sahaja mengalakkan pelajar tetapi untuk semua warga Brainy Bunch termasuklah ibu bapa pelajar,” katanya kepada Malakat Tribune, semalam.


Menurut Nurul Syahirah, sumbangan dalam bentuk barang-barang keperluan harian itu diharap dapat meringankan beban yang ditanggung oleh pihak pengurusan Rumal Amal Limpahan Kasih dan seluruh warganya.
“Kami di Brainy Bunch dan Malakat Mall mengharapkan sumbangan ini dapat menceriakan seluruh warga rumah kebajikan ini.
“Rumah amal ini merupakan pusat jagaan dan pendidikan bagi anak- anak yatim, ibu tunggal, warga emas dan golongan asnaf yang lain,” katanya.
Beliau berkata, platform SadaqahMarket diwujudkan bertujuan mengumpul dana bagi menampung misi dan program bantuan kepada rakyat negara ini.
Antara tabung yang sedang dikumpul pada masa ini adalah Sentuhan Kasih Buat Adik Arlisa, Sadaqah Seragam Sekolah-MAngsa banjir 2021, School Teacher Who Is Fighting With Her Illness, Tabung Bantuan Kemanusiaan Brainy Bunch Foundation, Tabung Bantuan Makanan & Keperluan Asas, Tabung Bencana Banjir Malaysia, Save Gaza- Palestine dan Tajaan Buka Puasa Ulama.
Katanya, orang ramai yang ingin menderma kepada tabung-tabung berkenaan boleh berbuat demikian dengan melayari laman web https://sadaqahmarket.com/product/rumah-amal-limpahan-kasih/