
LANGKAWI – Seramai 14 pemancing dan empat kru yang dilaporkan hilang selepas bot mereka dipercayai dipukul ribut dan karam pada kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah di sini hari ini, dilaporkan selamat.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis dalam satu kenyataan berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih dalam usaha menyelamatkan semua mangsa.
“Kapal KM Tenggol dan Bot Penyelamat 5 milik Maritim Malaysia dalam perjalanan ke posisi bot nelayan yang dilaporkan menyelamatkan mangsa.
“Kita masih dalam usaha menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu dalam kejadian 2 petang hari ini, bot terbabit dilaporkan membawa kumpulan pemancing dari Banting, Selangor dan Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya menghantar tiga aset ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya, menerusi sektor operasi yang diperluaskan dari lima hingga 10 batu nautika, pasukan SAR menemui beberapa objek terapung termasuk tong ikan, tin biskut dan gabus dipercayai milik bot berkenaan, lapor Harian Metro.