
LANGKAWI – Sebuah bot membawa kumpulan pemancing dan krew seramai 18 orang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka dipercayai karam selepas dilanda ribut berhampiran Pulau Beras Basah di sini hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian melalui Maritim Rescue Sub-Centre pada pukul 2 petang tadi.
Sehubungan itu katanya, Maritim Malaysia menggerakkan tiga buah bot dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi mengesan bot yang hilang itu.
“Bot KM Tenggol, Bot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 telah diatur gerak bagi operasi Carilamat (SAR) sebaik menerima laporan daripada MRSC Langkawi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Hasil daripada operasi itu, pihaknya telah menemukan beberapa objek dipercayai dari bot berkenaan pada jarak 4.8 batu nautika, barat daya dari kedudukan akhir bot berkenaan dilaporkan hilang.
“Susulan penemuan itu, Zawawi memberitahu, pihaknya telah meluaskan sektor pencarian daripada 5 batu nautika hingga ke 10 batu nautika,” katanya.
Sementara itu, kejadian yang sama turut dimasukkan di dalam kumpulan kaki pancing tempatan yang menamakan bot berkenaan sebagai Empayuar Mahsuri.
“Sahabat2 laut mohon doakan bot empayar mahsuri dan pemancing2 semua selamat… bot mengalami kerosakan akibat dipukul ribut di luar perairan Langkawi.
“Info last bot sedang karam. Mohon doa semua sahabat2.