1MDB: SPRM cuba dapatkan senarai nama individu didakwa penerima rasuah dari pihak berkuasa AS

0
35
AZAM BAKI

CYBERJAYA – Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang dalam proses mendapatkan senarai nama individu yang didakwa menerima rasuah daripada bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc., Tim Leissner.

Laporan portal FMT hari ini menyebut, kerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Menurut Azam, SPRM juga sudah membuka kertas siasatan susulan aduan yang dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tahun lalu terhadap pegawai bank berkenaan.

Beliau bagaimanapun mengakui, usaha untuk mendapatkan nama berkenaan agak sukar kerana melibatkan individu dari luar negara dan terpulang kepada pihak AS untuk berkongsi maklumat yang diperlukan.

“Kita sedang berhubung dengan pihak AS jika mereka boleh kongsikan bukti baharu. Itu hak prerogatif mereka.

“Jika mereka nak kongsi, mereka akan sedia kongsikan bukti (nama),” kata Azam.

Tambahnya, SPRM tidak boleh bertindak sendirian dan perlu melalui Pejabat Peguam Negara serta undang-undang negara berkenaan untuk mendapatkan bukti yang diperlukan.

“Permohonan ini bukan kami boleh terus buat, kerana kita perlu melalui Pejabat Peguam Negara kerana sebarang keterangan luar negara yang kita nak peroleh mesti melalui ‘mutual legal assistance’ dan undang-undang negara berkenaan,” jelasnya.

Setakat ini, katanya lagi, pihak berkuasa AS sudah memberikan maklum balas namun masih belum mendedahkan nama yang terlibat.

“Setakat ini ada reaksi positif daripada AS tetapi mereka belum lagi dedahkan bukti diperlukan. Kami sedang cuba dan amat berharap (dapat senarai nama),” katanya.

Pada 27 Okt tahun lalu, Najib membuat laporan terhadap bekas pegawai Goldman Sachs Group Inc itu di SPRM bagi membolehkan pihak berkuasa Malaysia menyoal, membawa balik atau meminta senarai nama daripada Jabatan Kehakiman (DOJ) AS dalam usaha membersihkan namanya dalam kes 1MDB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here