
CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua kes positif Covid-19 melibatkan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu semalam.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif dalam kalangan mangsa banjir Terengganu adalah sebanyak 25 kes.
“Sehingga jam 3 petang semalam terdapat dua negeri dilanda banjir iaitu Terengganu dan Kelantan. Sebanyak 54 PPS melibatkan 15 buah daerah telah dibuka dengan jumlah mangsa sebanyak 9,741 orang. Bilik gerakan banjir di kedua-dua buah negeri telah diaktifkan pada 26 Februari lalu
“Kesemua kes Covid-19 yang dilaporkan telah dikenalpasti dan diasingkan dari mangsa banjir yang lain di PPS khas. Tiada kluster dalam kalangan mangsa banjir dilaporkan di PPS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak dua fasiliti kesihatan di Terengganu terjejas banjir (tahap 1) iaitu Klinik Kesihatan (KK) Wakaf Tapai, Marang dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Nerus.
Walau bagaimanapun, katanya, kedua-dua fasiliti tersebut dilaporkan masih beroperasi seperti biasa.
Beliau berkata, semalam juga pihaknya mengesan terdapat tujuh kes acute respiratory infection (ARI) dan satu kes penyakit kulit dilaporkan.
Bagaimanapun, katanya, tiada kes konjunktivitis, typhoid, kolera, leptospirosis dan denggi dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir.
“KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu dengan Elakkan 3S.
“Elakkan kawasan yang sesak, sempit, dan sembang dengan jarak yang dekat, Amalkan 3W (Amalkan Wash, Wear, and Warn); sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup dan pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan.
“Selain itu perlu memaklumkan status risiko Covid-19 kepada anggota penyelamat sekiranya disahkan positif atau dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan,” katanya.
Pada masa sama, Dr Noor Hisham menasihatkan supaya semua mangsa banjir mengelakkan diri daripada berkumpul beramai-ramai semasa berada di PPS.