
CYBERJAYA – Bahagian Regulatori Farmasi Negara hari ini menafikan laporan berlaku 42 kematian dalam kalangan penerima di negara ini selepas suntikan vaksin dos penggalak Covid-19.
Pengarahnya, Dr. Roshayati Mohamad Sani berkata, dakwaan yang disalah ertikan daripada laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) itu sebenarnya berlaku kerana kekeliruan pemahaman.
Dalam penerangannya, beliau mengulangi apa yang dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung satu nota kaki di dalam laporan AEFI yang disalah ertikan.
Terdahulu, Khairy berkata, nota kaki yang mengatakan ‘Sehingga 11 Februari sebanyak 42 kes kematian di kalangan penerima dos penggalak diterima (direkodkan)’ telah difaham sebagai 42 orang meninggal dunia akibat dos penggalak.
“Kalau kita baca dari muka surat pertama sehingga akhir, kita ada nyatakan kita masih menilai dan kasualiti masih belum ditentukan.
“Punca kematian belum dapat disahkan lagi, AEFI yang melibatkan kematian akan disiasat secara terperinci oleh pasukan penyiasat,” kata Dr. Roshayati pada sidang media Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.
Beliau berkata, 42 kes melibatkan penerima yang telah menerima dos penggalak itu kini masih dalam peringkat siasatan dengan 22 daripada telah disahkan tiada hubung kait dengan vaksin.
Manakala selebihnya menurut beliau adalah kes kematian yang belum dinilai puncanya.
“Hasil daripada siasatan tersebut termasuk maklumat klinikal dan hasil bedah siasat akan dinilai dengan teliti oleh jawatankuasa yang dianggotai oleh pakar-pakar kesihatan dari pelbagai bidang (perubatan) termasuk dari univerisiti dan swasta.
“Jawatankuasa ini akan menentukan sama ada benar atau tidak kematian berlaku akibat penerimaan vaksin,” jelasnya.