
CYBERJAYA – Sebanyak 79 peratus daripada 191 kes kematian akibat Covid-19 melibatkan ibu hamil pada tahun lepas terdiri daripada mereka yang tidak menerima suntikan vaksin.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kesemua kematian dalam kalangan ibu hamil yang dilaporkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara turut melibatkan 83 peratus daripada mereka yang mempunyai komorbiditi.
Bagaimanapun, bagi tahun ini sehingga 15 Feb, tiada kes kematian melibatkan ibu hamil disebabkan oleh jangkitan Covid-19 dilaporkan.
“Liputan vaksin yang tinggi iaitu 94.7 peratus pada umur 18 tahun ke atas telah tercapai pada Oktober 2021 dan ini menyumbang kepada penurunan kematian ibu hamil akibat komplikasi Covid-19,” kata Dr. Noor Hisham.
Beliau berkata demikian dalam satu paparan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, hari ini.
Tambahnya, di antara Mac 2020 hingga Januari tahun ini, sebanyak 18,277 kes jangkita Covid-19 melibatkan ibu hamil dilaporkan di seluruh negara.