
CYBERJAYA – Sebanyak 8,120 orang guru baharu yang lulus temuduga Fasa 2 dan 3 bagi pengambilan khas secara one-off akan mula ditempatkan di sekolah masing-masing pada 1 Mac ini.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin berkata, kesemua calon yang telah berjaya dalam temuduga itu boleh membuat semakan penempatan bermula semalam.
“Kepada calon yang berjaya dipilih, tahniah dan selamat bertugas saya ucapkan.
“Manfaatkanlah peluang menjadi guru untuk bekerja setulus hati ke arah melahirkan generasi pewaris negara yang lebih hebat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya petang ini.
Mohd Radzi sebelum ini berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menyelesaikan pengambilan kumpulan guru berkenaan sebelum sesi persekolahan akan datang bermula.
Beliau berkata, pengambilan khas guru secara one-off yang melibatkan keseluruhan 18,702 orang adalah bagi merungkai isu kekurangan guru yang berlarutan sejak sekian lama.
Sementara itu katanya, baki pengambilan dan penempatan khas guru-guru one-off itu juga dipercepatkan untuk mengisi keperluan di seluruh negara.
“KPM akan terus bekerjasama rapat dengan SPP selaku Pihak Berkuasa Melantik untuk mempercepatkan pelantikan dan penempatan baki pengambilan guru one-off dalam masa terdekat.
“Ini amat penting bagi menampung keperluan guru, khususnya bagi sesi persekolahan akan datang. InsyaAllah KPM akan berusaha untuk menyelesaikan perkara yang telah lama berlarutan satu per satu,” katanya.