AirAsia bakal operasi teksi udara mulai 2025

0
39
TONY FERNANDES

CYBERJAYA – AirAsia Aviation Group Ltd (AirAsia), anak syarikat kepada Capital A Bhd, hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bagi menyewa sekurang-kurangnya 100 pesawat pelepasan dan pendaratan menegak berkuasakan elektrik (e-VTOL), VX4.

Perjanjian tersebut ditandatangani dengan syarikat penyewaan kapal terbang, Avalon.

Ketua Pegawai Operasi Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pengoperasian pesawat VX4 tersebut yang dijangka bermula 2025 nanti bakal merevolusikan perjalanan udara tempatan dan memudahkan orang ramai untuk bergerak dengan lebih efisien.

“Sebagai contoh, perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke pusat bandar Kuala Lumpur mengambil masa sehingga 90 minit sekiranya trafik sesak namun, menggunakan perkhidmatan ini, ia hanya mengambil masa 15 minit dengan kos sekitar AS$50 (RM209.26) bagi penerbangan untuk empat penumpang.

“Malah, ia juga membuka peluang baru bagi sektor pelancongan seperti ke Genting Highlands atau Pulau Pangkor yang sebelum ini hanya dapat dikunjungi dengan kenderaan dan laluan tertentu saja,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara AirAsia dengan Avolon di Singapura, hari ini.

Sebagai tambahan kepada pesawat eVTOL, Avolon, melalui syarikat sekutu pelaburan dan inovasinya Avolon-e, akan bekerjasama dengan AirAsia untuk mengkomersialkan pesawat eVTOL dengan pelepasan sifar dan membangunkan platform mobiliti udara dalam bandar (UAM) yang terkemuka dalam industri di Asia Tenggara.

Avolon dan AirAsia juga akan membentuk kakitangan untuk memohon pensijilan tempatan, menyelidik peluang pasaran yang berpotensi dan keperluan infrastruktur untuk UAM.

AirAsia juga akan memanfaatkan aplikasi mudah alih perjalanan dan gaya hidupnya, airasia Super App, untuk membantu menyokong dan membina platform perkongsian perjalanan eVTOL dengan Avolon.

VX4 yang dikendalikan oleh seorang juruterbang dan mampu membawa sehingga 4 orang penumpang, mempunyai jarak penerbangan hingga 160 kilometer (km) dan terbang setinggi 2,000 kaki.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here