Amalan Pertanian Baik tingkatkan hasil pekebun kecil RISDA

0
743
Pelaksanaan dan pengamalan GAP yang betul dan mengikut norma-norma yang sesuai serta teknologi-teknologi yang disyorkan sentiasa diterapkan RISDA kepada pekebun kecil

AMALAN Pertanian Baik (GAP) merupakan antara faktor terpenting bagi memastikan tanaman getah oleh pekebun kecil di seluruh negara mencapai sasaran yang ditetapkan sekaligus dapat meningkatkan produktiviti.

Pelaksanaan dan pengamalan GAP yang betul dan mengikut norma-norma yang sesuai serta teknologi-teknologi yang disyorkan sentiasa diterapkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kepada semua pekebun kecil.

Melalui pendekatan ini, penyampaian maklumat dan pengetahuan kepada pekebun kecil berdasarkan GAP yang digariskan adalah lebih terperinci, berfokus dan menjurus ke arah pencapaian matlamat yang ditetapkan.

Untuk makluman, terdapat lima GAP yang ditetapkan oleh RISDA iaitu

GAP 1 :          Penanaman dan Penyelenggaraan;

GAP 2:           Pembajaan;

GAP 3:           Penggunaan Bahan Rangsangan Lateks;

GAP 4:           Penorehan dan Penuaian

GAP 5:           Strategi Pemasaran Hasil.

Untuk memastikan pekebun kecil mengikut dan mengamalkan setiap GAP yang telah ditetapkan, kakitangan dan pegawai RISDA sentiasa turun padang bagi memberi tunjuk ajar dan juga khidmat nasihat.

RISDA sentiasa turun padang bagi memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada Pekebun kecil .

Komitmen RISDA

RISDA menyediakan pelbagai bantuan dan juga insentif kepada pekebun kecil dalam memastikan setiap GAP dipatuhi untuk tumbesaran pokok getah.

Khidmat pengembangan adalah satu pendekatan  untuk memberikan pendedahan, kesedaran, pengetahuan, kemahiran dan bimbingan kepada pekebun kecil mengenai pembangunan institusi, modal insan dan GAP.

RISDA turut menyediakan insentif untuk pekebun kecil yang berdaftar di bawah Program Produktiviti dan Pemasaran iaitu Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG). Bagi tujuan tersebut RISDA menyediakan bantuan sebanyak RM600 untuk setiap hektar kebun getah dalam bentuk input pertanian. Skim ini membekalkan baja RISDA 4 sebanyak 30 unit/hektar, bahan rangsangan lateks 4 botol/hektar dan juga racun rumpai/kimia untuk kawalan penyakit.

Aktiviti pembajaan turut diberikan perhatian oleh RISDA bagi memastikan kesuburan pokok getah milik Pekebun Kecil

Selain itu, bagi kebun getah muda, RISDA turut menawarkan Program Peningkatan Produktiviti Getah (PPG) dengan kadar maksimum bagi skim ini sebanyak RM1,500 untuk setiap hektar. Skim ini membekalkan baja R4 sebanyak 50 beg/hektar, set alat mengawal kecuraman torehan, alat buka panel torehan dan racun rumpai.

Manakala untuk program tanaman semula, RISDA membekalkan baja untuk pekebun kecil merangkumi benih getah, baja R1 dan Rock Phosphate (RP)

Kewajiban Membimbing Pekebun Kecil

Pekebun kecil yang mendapat bantuan RISDA akan dibimbing secara berterusan bermula daripada penyediaan tanah sehingga pokok getah cukup matang untuk ditoreh.

RISDA sentiasa turun padang untuk memberi tunjuk ajar kaedah buka panel torehan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti telah mencapai  lilitan pokok getah  45cm ke atas dan alur torehan 30 darjah.

Antara peralatan yang diperlukan untuk proses awalan membuka tapak torehan ialah kayu pengukur untuk membuka tapak torehan, pisau torehan, kapur untuk proses penandaan dan juga tali pengukur

Proses pengukuran untuk membuka tapak torehan

Melalui GAP, teknologi pembajaan pekebun kecil akan dibimbing melalui proses pembajaan yang betul dan tersusun mengikut jadual serta teknik pembajaan yang sesuai. Ini bagi memastikan pokok getah mendapat nutrisi yang mencukupi dan menggalakkan kepada pengeluaran susu getah.

Bagi pokok getah muda (1 hingga 2 tahun) baja akan ditabur di sekeliling pokok.

Bagi pokok getah berumur 2 hingga 4 tahun pula, baja ditabur rata-rata di sepanjang lorong atau barisan tanaman selebar 2 hingga 3.5 meter kecuali 60 sentimeter (cm) di sekeliling pokok. Pekebun kecil juga tidak disyorkan menjalankan aktiviti pembajaan pada musim kemarau atau hujan lebat.

RISDA akan akan menyampaikan tiga jenis baja iaitu RP untuk permulaan proses penanaman semula, baja ini diletakkan di dalam lubang untuk tumbesaran akar. Kemudian baja R1 untuk getah muda iaitu pembajaan selepas dua bulan penanaman sehingga 37 bulan dan seterusnya baja R4 akan diberikan apabila pokok cukup matang.

Baja yang dibekalkan oleh RISDA kepada pekebun kecil

Dalam pada itu, pada dasarnya pokok getah tidak dibenarkan berdahan sehingga mencapai ketinggian 300 cm bagi keperluan dan menyenangkan kerja penorehan.

Untuk mencapai matlamat batang licin dan kemas ini, cantasan terkawal mestilah dijalankan dengan membuang dahan paling rendah sebaik sahaja terbentuknya tiga pusaran dahan pada pokok.

Tunjuk Ajar RISDA Bantu Pekebun Kecil

Bagi pekebun kecil di Kampung Pasir Putih di Kuala Nerang, Ab. Hamid Baharom,54, dia sentiasa mendapatkan khidmat nasihat daripada pegawai dan kakitangan pejabat RISDA Kuala Nerang untuk memastikan kebun getahnya mengikut SOP yang ditetapkan.

Ab. Hamid Baharom

Ab. Hamid berkata, kebunnya seluas 0.2879 hektar di mukim Tualak kini berusia tujuh tahun selepas proses penanaman semula dilakukan pada akhir 2014 dan kini proses penorehan sudah boleh dimulakan dengan lilitan pokok telah mencapai 66 cm.

“RISDA sentiasa beri tunjuk ajar kepada saya bermula proses tanam semula, pembajaan dan buka panel torehan. Mereka turun padang untuk beri peralatan dan ajar cara-cara untuk guna termasuk terbaharu untuk buka panel torehan,” katanya.

Sementara itu, Endin Nu Kiau, 60, berkata, dia antara pekebun kecil yang bertuah kerana berdaftar dengan RISDA dan mendapat pelbagai bantuan untuk kebun getahnya yang seluas 1.5881 hektar di mukim Tekai, Pedu.

Endin Nu Kiau

Nu Kiau berkata, jika dihitung, dia telah mendapat bantuan sebanyak RM24,000 daripada RISDA untuk proses tanaman semula pokok getah dikebunnya iaitu bermula proses tanaman semula sehingga pokok boleh ditoreh ketika ini.

“Sekarang pokok getah di kebun saya sudah berusia kira-kira 11 tahun. Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada RISDA kerana sentiasa turun padang dan pantau segala perkembangan pekebun kecil.

“Kakitangan dan pegawai RISDA di sini juga tidak ‘lokek’ ilmu dan sentiasa beri tunjuk ajar. Contohnya ketika susu berkurangan, mereka turun padang untuk ajar guna alat rangsangan susu (Mortek) getah baru-baru ini untuk meningkatkan hasil pekebun kecil,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here