
CYBERJAYA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mendaftarkan anaknya yang berusia enam tahun untuk menerima suntikan vaksin menerusi tempahan di aplikasi MySejahtera.
Beliau mengesahkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Hospital Tunku Azizah hari ini
“Semalam saya sendiri sudah pilih tempahan untuk anak saya,” katanya.
Sebelum ini segelintir pihak mendesak supaya Menteri Kesihatan itu sendiri mendaftar anak-anaknya untuk diberikan vaksin Covid-19 kanak-kanak.
Ia selepas timbul kebimbangan dalam kalangan sesetengah pihak tentang tahap keselamatan vaksin tersebut.
Dalam pada itu, Khairy berkata, proses pendaftaran PICKids melalui aplikasi MySejahtera menerima sambutan baik dalam kalangan ibu bapa.
Beliau berkata, pihaknya juga memberikan kemudahan kepada ibu bapa untuk membuat pilihan tarikh, lokasi dan masa temu janji sendiri.
Khairy berkata, keutamaan untuk pemberian vaksin pada permulaan program tersebut adalah kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan kerana mereka lebih berisiko untuk dijangkiti Covid-19.
“Kita telah membuka pendaftaran untuk vaksin ini dan kita mulakan dengan kanak-kanak komorbiditi dan mempunyai daya tahan imun yang rendah. Kita akan berikan vaksin kepada golongan ini di hospital.
“Hari ini kita juga memulakan pemberian vaksin di PPV Integrasi lain seperti di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur,” ujarnya.