Badan khusus jayakan agenda TVET negara ditubuhkan, sasar jadi pilihan pertama kerjaya

0
62
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) secara telesidang yang turut dihadiri oleh 13 menteri, tokoh industri termasuk dari Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, ahli akademik dan wakil pelajar hari ini.

CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan buat julung kalinya memperakukan penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC) dalam membangunkan modal insan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)  negara.

Perdana Menteri berkata, badan yang diterajui industri tersebut akan terlibat secara langsung dalam pembangunan modal insan TVET negara khususnya berkaitan keperluan kemahiran dan tenaga kerja.

“Keanggotaan GITC terdiri daripada 12 persatuan berdasarkan sektor industri yang bersetuju bersama-sama berganding bahu menjayakan agenda TVET negara melalui GITC.

“Mesyuarat juga telah bersetuju dengan pelaksanaan TVET Collaboration Hub, melibatkan 11 kementerian dan diselaraskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Inisiatif ini bakal menjadi platform kolaborasi strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi-institusi TVET, pihak berkuasa wilayah ekonomi dan
industri,” katanya hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) secara telesidang yang turut dihadiri oleh 13 menteri, tokoh industri termasuk dari Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, ahli akademik dan wakil pelajar hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) secara telesidang yang turut dihadiri oleh 13 menteri, tokoh industri termasuk dari Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, ahli akademik dan wakil pelajar.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sejumlah 12 hab telah dikenal pasti termasuk automotif, semikonduktor, marin, penyaman udara, aeroangkasa, robotik, rel, telekomunikasi, hospitaliti dan pelancongan serta teknologi makanan yang akan dilaksanakan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Pada masa sama, katanya, mesyuarat tersebut bersetuju secara dasar dengan cadangan penarafan tunggal TVET, namun proses libat urus bersama kementerian serta industri perlu dilaksanakan sebelum dibentangkan semula dalam mesyuarat MTVET yang akan datang.

“Inisiatif ini dijangka akan memperkukuh simbiosis ekosistem TVET dalam menghubungkan pihak-pihak yang terlibat untuk merapatkan jurang di antara permintaan dan penawaran tenaga kerja.

“Usaha-usaha yang dilaksanakan MTVET amat signifikan bagi merealisasikan strategi dan inisiatif yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Di bawah Bajet 2022, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion untuk memperkasa TVET melalui pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkaitan,” ujarnya.

Inisiatif-inisiatif ini bakal menyediakan graduan yang menepati keperluan industri, meningkatkan kualiti institusi TVET, memperkukuh penawaran program berorientasikan industri dan memperhebat keterlibatan aktif industri.

Sementara itu, katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) juga telah diminta membuat pendedahan awal sistem pendidikan TVET kepada pelajar Tingkatan 1 agar boleh membuat pilihan yang bersesuaian dengan kecenderungan mereka.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 1,295 penyedia TVET awam dan swasta yang merentasi 11 kementerian termasuk 22 institusi TVET kerajaan negeri di seluruh Malaysia, yang menyediakan pengajian peringkat sijil dan diploma.

Ismail Sabri berkata, kerajaan kini juga telah mengiktiraf Diploma Vokasional Malaysia (DVM) sebagai laluan ke rangkaian universiti teknikal awam di Malaysia (MTUN) iaitu Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here