Baki rakyat Malaysia di Ukraine selamat tiba di Poland

0
41
Sebahagian rakyat Malaysia yang berjaya menyelamatkan diri selepas tiba di Korczowa-Krakovets

KYIV – Seramai sembilan rakyat Malaysia dan dua orang tanggungan mereka serta seorang rakyat Singapura berjaya menyelamatkan diri selepas tiba di Korczowa-Krakovets, sempadan Ukraine dengan Poland.

Perkara itu disahkan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya sebentar tadi.

Bagaimanapun, dalam hantaran itu Saifuddin tidak memaklumkan waktu kesemua mereka tiba di lokasi terbabit.

“Alhamdulillah, konvoi yang memindahkan sembilan rakyat Malaysia dan dua tanggungan mereka serta seorang warga Singapura dari Kyiv yang diketuai oleh Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine, Cik Fadhilah Daud telah selamat tiba di Korczowa-Krakovets, sempadan Ukraine dengan Poland.

“Konvoi tersebut telah disambut oleh dua pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Poland. Mereka sedang menuju ke Warsaw pada waktu ini dan dijangka pulang ke Kuala Lumpur dalam masa yang terdekat,” katanya.

Kenderaan konvoi yang membawa mereka

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan usaha untuk mengeluarkan baki rakyat Malaysia yang terperangkap di Ukraine sedang giat diusahakan.

Sejak beberapa hari lalu, Rusia melancarkan serangan ke atas Ukraine sehingga menyebabkan ratusan nyawa dan harta benda musnah teruk.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here