Banjir: Bomba, penduduk terpaksa selamatkan diri di atas bumbung

0
81
Gambar yang tular di media sosial apabila penduduk di Hulu Terengganu terpaksa menyelamatkan diri di atas bumbung rumah

KUALA TERENGGANU – Anggota bomba yang sedang dalam operasi menyelamat dan memindahkan mangsa berhadapan detik-detik mencemaskan apabila terpaksa berlindung bersama penduduk di atas bumbung di Kampung Lubuk Pait, Hulu Terengganu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang Hanaffi Mohd berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penduduk di Kampung Tapah 4 pagi tadi sebelum sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, pasukan penyelamat sekali lagi menerima panggilan daripada penduduk di Kampung Cheting, Kampung Peneh dan Kampung Sekayu pada 5.15 pagi.

Pasukan bomba yang turut sama terlibat dalam operasi menyelamat mangsa banjir

“Usaha menyelamatkan dilakukan dalam keadaan gelap dengan keadaan air yang semakin tinggi dan deras dengan bantuan daripada penduduk kampung.

“Semua mangsa berjaya diselamatkan namun kita berdepan kesukaran untuk membawa keluarmangsa kerana air semakin tinggi.

“Pada masa sama, kita turut terserempak dengan beberapa penduduk yang mahu keluar sebelum mereka ini kita letakkan di lokasi yang selamat sementara menunggu ketibaan bot penyelamat,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Hanaffi berkata, pihaknya tidak berani mengambil risiko meredah banjir berikutan keadaan arus yang deras selain hujan lebat.

Katanya, pihaknya turut menenangkan mangsa yang panik berikutan keadaan air yang naik dengan cepat.

“Setakat ini, jumlah sebenar mangsa yang terperangkap masih belum diketahui dan kita juga sudah menghubungi ibu pejabat untuk mendapatkan bantuan termasuk helikopter,” katanya.

Terdahulu tular beberapa keping gambar mangsa banjir terpaksa naik ke bumbung kediaman selepas air deras mula menaiki beberapa kawasan di daerah ini.

Kenaikan air secara mendadak dan deras selain keadaan semasa yang masih hujan ketika ini menyebabkan pasukan penyelamat tidak dapat keluar bersama penduduk kampung dari kawasan berkenaan.

Ketika ini, pasukan penyelamat bersama 25 mangsa yang sebelum ini diselamatkan dari beberapa kampung seperti Kampung Tapah dan Kampung Cheting berada di atas bumbung kediaman penduduk sementara menunggu bantuan..

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here