Bas kilang bertembung lori, 2 parah dan 15 cedera ringan 

0
30
Tangkap layar video pasukan bomba sedang membantu mangsa yang tersepit

BUTTERWORTH – Pemandu bas kilang dan pemandu treler cedera parah selepas kedua-dua kenderaan bertembung dalam nahas jalan raya berhampiran sebuah kilang di Jalan Perusahaan Perai di sini malam ini.

Insiden yang dipercayai berlaku pada 7.20 malam itu turut menyebabkan 15 pekerja kilang lelaki warga asing yang dalam perjalanan pulang cedera ringan, memetik laporan Bernama.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, Mohd Fakharurazi Md Rejab berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.21 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dikerah ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kami mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas yang membawa pekerja kilang telah bertembung dengan lori treler dan menyebabkan bas terbalik manakala dua lelaki yang merupakan pemandu kedua-dua kenderaan cedera parah.

“Pemandu bas dan lori treler yang tersepit di bahagian tempat duduk hadapan telah berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dengan menggunakan peralatan menyelamat sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, semua pekerja kilang yang cedera dihantar ke hospital sama untuk pemeriksaan kesihatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here