
SEREMBAN – Empat pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) cedera selepas bas persiaran yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebatang pokok dalam kejadian berhampiran sebuah restoran makanan segera di Bandar Baru Nilai, di sini pagi tadi.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Bomba Kanan II, Raihan Che Mat berkata, pihaknya mendapat panggilan kejadian pada pukul 7.41 pagi dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian, lapor Utusan Online.
Beliau berkata, bas berkenaan membawa seramai 17 orang pelajar dan dalam perjalanan ke USIM.
“Setibanya di lokasi kejadian, kami menerima laporan mengenai tumpahan minyak di atas jalan raya berhadapan restoran makanan segera, McDonald’s Bandar Baru Nilai.
“Terdapat sebuah bas dipercayai terbabas dan melanggar sebatang pokok kemungkinan akibat tumpahan minyak berkenaan.
“Empat orang pelajar cedera di tangan, pergelangan tangan dan ada yang cedera di bahagian tulang belakang,” katanya kepada portal berita itu.
Dalam pada itu, katanya, kesemua pelajar terbabit telah dihantar menggunakan ambulans unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) dan ambulans Kementerian Kesihatan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).