Bekalan ayam dan telur dijangka pulih dalam masa empat bulan

0
9

CYBERJAYA – Bekalan ayam dan telur dijangka akan stabil kembali dalam masa empat bulan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, ia berikutan pelbagai insentif dan subsidi yang diberikan kepada pemain industri terutamanya penternak bagi meringankan beban mereka yang menghadapi peningkatan kos termasuk bahan mentah.

“Subsidi baharu diumumkan minggu lepas dan sedang dalam proses pengaturan dengan pihak industri. Kerajaan mendengar masalah yang dihadapi dan telah ambil tindakan bagi menampung sedikit implikasi kenaikan kos pengeluaran bekalan makanan negara.

“Kita beri tempoh empat bulan, ayam kalau kita nak ternak kena ambil masa 30 hingga 40 hari, jadi ia perlukan masa (untuk stabilkan bekalan ayam dan telur),” katanya kepada pemberita selepas program penubuhan Pasukan Sokongan Tindak Balas Kecemasan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (CDERT FAMA), hari ini.

Program dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abd Latiff Ahmad.

Ronald sekali lagi menegaskan bahawa langkah kerajaan membenarkan pengimportan bekalan ayam bulat dari luar negara adalah bersifat sementara bagi menampung kekurangan bekalan ayam dalam pasaran sehingga ia kembali stabil.

“Kita dah buka bukan sahaja kepada pengimport luar tetapi dalam kalangan pengusaha pasar raya (import).. sebulan dua kebelakangan ini kita lihat bekalan kurang sebab itu kita benarkan import. Bila pengeluaran (dalam negara) stabil kita akan hentikan,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here