Bentuk kemenjadian murid, Sekolahku Sejahtera wajar disokong penuh – titah Agong

0
130
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyambut baik inisiatif Sekolahku Sejahtera yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan ke arah untuk membentuk kemenjadian murid.

Baginda bertitah, semua pihak sewajarnya menyokong usaha yang dilakukan demi untuk merapatkan jurang pembelajaran murid yang wujud akibat pandemik Covid-19.

“Kerajaan akan terus mengukuh dan menyokong pembelajaran menerusi pembudayaan amalan dan nilai murni serta persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif.

“Beta menyambut baik inisiatif Sekolahku Sejahtera untuk dilaksanakan ke arah membentuk kemenjadian murid.

“Semua pihak sewajarnya menyokong usaha yang dilakukan demi untuk merapatkan jurang pembelajaran murid yang wujud akibat pandemik Covid-19.

“Jalinan kerjasama baik dan positif hendaklah terus diwujudkan dan disokong bagi memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada anak-anak kita,” titah baginda pada perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, hari ini.

Dalam pada itu, baginda turut menyambut baik Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental Tahun 2020-2025 yang dirangka bagi menangani isu kesihatan mental rakyat terutama yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Baginda bertitah, pelbagai langkah intervensi dan bantuan kepada golongan terkesan dalam pelan itu sangat dihargai.

“Beta menyeru rakyat terus memelihara kesihatan termasuk kesihatan mental dan sentiasa mengamalkan budaya hidup sihat bagi menjayakan matlamat Agenda Nasional Malaysia Sihat.

“Beta juga menghargai Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara termasuk strategi pembangunan vaksin sendiri sebagai usaha meningkatkan kesediaan negara dalam mendepani pandemik dan ancaman wabak lain pada masa depan,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menyokong aspirasi kerajaan untuk merakyatkan sains dan menginsankan teknologi.

Baginda bertitah, selaras dengan aspirasi itu, pembudayaan sains melalui inovasi sosial bakal melahirkan modal insan yang bersifat altruistik dalam menangani isu kemiskinan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

“Beta berharap kerajaan akan terus memperkukuh program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi dalam bidang keutamaan termasuk kecerdasan buatan, robotik, biosains dan angkasa,” titah baginda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here