Brainy Bunch rancang buka cawangan baharu di Turkiye

0
37
Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan dan juga Naib Presiden Kanan Kumpulan Malakat Eco, Adzhar Mohd. Noor ketika berucap pada Majlis Penyerahan Memorandum PPDM kepada wakil parti politik di Cyberjaya.

CYBERJAYA – Institusi pendidikan montessori, Brainy Bunch akan mengembangkan lagi sayapnya di peringkat antarabangsa dengan membuka sebuah cawangan baharu di Turkiye dalam masa terdekat ini.

Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Malakat Eco dan Brainy Bunch, Adzhar Mohd Noor berkata, perancangan itu merupakan antara pelan pihaknya untuk membuka cawangan di seluruh dunia.

“Kira-kira tiga minggu yang lalu, kami telah mementerai perjanjian membeli International School of Kuala Lumpur dan menjadikannya Brainy Bunch International Islamic School, Kampus Kuala Lumpur.

“Ini menjadikan kami memiliki tiga buah sekolah antarabangsa. Satu, di Cyberjaya, satu, di Kuala Lumpur dan satu lagi di Johor di samping memiliki 104 cawangan Brainy Bunch Kindergarten di serata negara.

“Kami juga memiliki empat cawangan di Singapura, dua di Indonesia dan masing-masing sebuah di Brunei, Turki serta di Gaza.

“Kini kami dalam perancangan untuk membuka sebuah lagi sekolah antarabangsa kami di Turkiye dalam pelan kami membuka sekolah-sekolah Islam kami di merata pelosok dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Memorandum Pertubuhan Penyatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM) mengenai tuntutan pemain industri E-Hailing, P-Hailing, lori dan bas kepada wakil-wakil parti politik di Kompleks Brainy Bunch di Cyberjaya di sini hari ini.

Yang hadir sama, Penaung PPDM, Datuk Nadzim Johan dan Ketua Aktivis PPDM, Kamarudin Mohd Hussain.

Ketua Aktivis Pengangkutan Darat Malaysia, Kamaruddin Hussain menyerahkan memorandum PPDM kepada Ketua Penerangan Pakatan Harapan, Fahmi Fadzil di Cyberjaya.

Dalam pada itu, Adzhar turut mengimbas semula cabaran ketika mahu menubuhkan institusi pendidikan awal kanak-kanak itu apabila ramai memandang sinis dan mentertawakan hasrat tersebut.

Namun begitu katanya, selepas 11 tahun beroperasi, Brainy Bunch boleh berbangga kerana mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan sekolah antarabangsa lain.

“Sekolah agama ini didirikan atas keringat sendiri demi membuktikan kesilapan pandangan lekeh sesetengah pihak terhadap Pendidikan Islam di negara ini.

“Alhamdulillah, perjuangan penuh onak dan duri sepanjang 11 tahun membangunkan sistem Pendidikan Islam Montessori di negara ini hasil cetusan idea Presiden kami Coach Fadzil Hashim.

“Ia menjadikan Brainy Bunch International School ini satu-satunya sekolah agama yang memiliki bangunan gah sendiri tanpa bantuan pihak kerajaan. Inilah perjuangan dari seorang anak jati Puchong yang suatu ketika dahulu ditertawakan oleh banyak pihak,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here