BRO sambut baik keputusan kerajaan benarkan pasar raya besar import ayam

0
11
Presiden BRO, Datuk Ameer Ali Mydin

CYBERJAYA – Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO) menyambut baik keputusan kerajaan yang terus komited menyelesaikan isu bekalan dan pengeluaran makananan terutamanya bagi ayam dan telur ayam.

Menurut Presiden BRO, Datuk Ameer Ali Mydin, pihaknya juga turut menzahirkan ucapan penghargaan di atas keputusan kerajaan yang membuka permit import ayam kepada semua pemegang permit kelulusan (AP) dan juga pembukaan AP kepada pengusaha-pengusaha pasar raya besar.

“Kerajaan yang prihatin rakyat juga, telah menetapkan harga maksimum runcit bagi ayam standard juga dikurangkan sebanyak 20 sen yang menjadikan harga siling ayam pada RM8.90.

“Bagi memastikan penternak-penternak ayam tempatan kekal berdaya saing, BRO mengharapkan kerajaan akan terus memastikan langkah intervensi atau pemberian subsidi yang saksama kepada mereka dapat dimuktamadkan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin kerajaan melalui Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Khas Sara Hidup Negara (NACCOL) mengumumkan untuk membenarkan pengendali pasar raya besar untuk memperoleh AP bagi mengimport ayam bulat sebagai langkah bagi memastikan harga ayam kekal berpatutan dan pada masa yang sama tidak menjejaskan industri penternakan ayam.

Dalam pada itu, Ameer Ali turut memuji kesungguhan yang ditunjukkan oleh kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri dalam menangani isu kenaikan harga barangan yang berlaku sedang di peringkat global.

Katanya, pihak persatuan juga menyatakan komitmen dan usaha bagi memastikan aspirasi kerajaan bagi memastikan kawalan harga barangan dapat dicapai.

Justeru itu, katanya, rakyat dan peniaga akan dapat manfaat seiring dengan keputusan yang telah dibuat itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here