Calon SPM maut motosikal bertembung Nissan Frontier

0
67
Allahyarham Nurul Fateha Amyra Saiful Nizam

BANDAR BAHARU – Seorang pelajar perempuan yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Serdang-Selama, Serdang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa, Nurul Fateha Amyra Saiful Nizam,18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serdang maut di tempat kejadian, lapor Kosmo! Online.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Akmal Hizam Abd. Khupur berkata, kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis Honda dari arah Selama menghala ke Serdang.

“Sebaik sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai masuk ke laluan bertentangan untuk memotong sebuah lori.

“Bagaimanapun disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Frontier tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan motosikal ditunggangi mangsa,” katanya di sini hari ini.

Mangsa ketika kejadian dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menduduki Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Katanya, mangsa tercampak dan terjatuh di atas jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here