
MELAKA – Sekurang-kurangnya 11 buah sekolah di negeri ini diarahkan tutup selepas 1,258 pelajar disahkan dijangkiti Covid-19.
Exco Pendidikan dan Teknologi, Datuk Rais Yasin berkata, 10 daripada sekolah terbabit adalah sekolah kebangsaan dan arahan penutupan dikuatkuasakan selama lima hingga tujuh hari bergantung kepada tahap penularan Covid-19 di sesebuah sekolah.
Antaranya adalah sekolah yang terlibat ialah SK Kampung Tun Razak, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ning, SK Paya Redan, SK Batu Berendam, SK Pulai, SK Chinchin, SMK Tun Tuah, SK Tun Syed Ahmad Shahabudin, SK Duyung, SK Bukit Rambai dan SK Taman Bukit Rambai.
“Penutupan sekolah berpandukan saranan yang diberikan oleh pihak berkuasa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka.
“Sesi kelas di sekolah-sekolah tersebut tetap diteruskan melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Ini adalah amat penting bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid-murid dapat dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi akan terus memantau dan memastikan keberkesanan pembelajaran pelajar untuk mengelakkan keciciran dalam kalangan pelajar.
Menurut beliau, setakat ini data menunjukkan bilangan murid berumur lima hingga 11 tahun yang telah divaksin seramai 18,167 orang.