
CYBERJAYA – Sebanyak 105 kes, bersamaan dengan 0.43 peratus daripada 24,466 kes baharu Covid-19 yang dicatatkan semalam terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima, berbanding 129 kes yang direkodkan pada Sabtu lepas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, baki 24,361 kes (99.57 peratus) lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Daripada 105 kes kategori tiga, empat dan lima yang dilaporkan, 25 kes tidak divaksin atau belum lengkap vaksinasi.
“56 kes (lagi) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 24 kes telah menerima dos penggalak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, berkenaan kes yang dimasukkan ke hospital pada semalam pula adalah sebanyak 1,559 kes dan daripada jumlah itu, 569 kes iaitu 36.5 peratus berada kategori tiga, empat dan lima, manakala baki 990 kes (63.5 peratus) melibatkan kategori satu dan dua.
Bagi jumlah kes sembuh, Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 22,380 kes dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh meningkat kepada 3,085,940.