
CYBERJAYA – Jumlah kes baharu Covid-19 kini sudah mencecah lima angka apabila sebanyak 10,089 jangkitan baharu dilaporkan hari ini.
Angka terbaharu yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam negara kini sebanyak 2,914,220.

Dalam ciapannya, Dr. Noor Hisham memaklumkan, Selangor mencatat kes tertinggi dengan 2,549 kes, diikuti Johor dengan 1,582 kes, dan Sabah dengan 1,285 kes.
Katanya lagi, kadar kematian dalam negara turut merekodkan pertambahan sebanyak 14 kes setakat semalam.
Untuk rekod, pecahan kes kematian itu melibatkan lima di Selangor, empat di
Sabah, dua di Kuala Lumpur manakala satu kematian direkodkan masing-masing di Johor, Negeri Sembilan dan Perak.
Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan bagi kes kematian di negara ini sebanyak 32,025.