
CYBERJAYA – Semua murid bukan dari kelas peperiksaan yang pulang ke kampung halaman masing-masing sempena perayaan Tahun Baru Cina tidak dibenarkan kembali ke asrama susulan lonjakan kes Covid-19 pada masa sekarang.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, berikutan itu kesemua murid berkenaan perlu menjalani Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di rumah masing-masing.
“Ini kerana, kita ingin memastikan anak kita yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Februari dan Mac 2022 akan berada dalam keadaan yang terlindung dan mereka dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat dan teratur.
“Kita akan terus pastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah berasrama khususnya, dapat terus dipertingkatkan.
“Pada masa sama, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah meningkatkan pemantauan di sekolah bagi memastikan segala SOP dipatuhi dengan baik dan kita dapat kurangkan risiko jangkitan COVID-19 di sekolah,” katanya dalam satu hantaran video di media sosial hari ini.
Dalam pada itu, Radzi juga menasihatkan ibu bapa yang anak-anak mereka menunjukkan gejala atau simptom berkaitan Covid-19, supaya tidak dibenarkan kembali ke sekolah minggu depan.
“Untuk minggu yang akan datang, kita tahu minggu ini ramai ibu bapa yang membawa anak bercuti, balik kampung dan pelbagai aktiviti, kami mohon jasa baik ibu bapa, sekiranya minggu depan apabila sekolah dibuka, jika anak menunjukkan gejala, pastikan mereka tidak ke sekolah.
“Ini penting bagi kita pastikan persekitaran sekokah berada dalam keadaan selamat dan dapat mengurangkan risiko jangkitan di sekolah. Apa yang penting kita memastikan sekolah akan dapat terus dibuka dalam keadaan selamat dan teratur,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM), untuk tempoh 1 Januari sehingga 1 Februari lalu, hanya 8,451 kes atau 7.15 peratus dariapada keseluruhan 118,238 kes Covid-19 membabitkan kluster pendidikan.
Katanya, daripada jumlah kes direkodkan itu, ia membabitkan keseluruhan 303 kluster pendidikan di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, 100 kluster atau 33 peratus adalah membabitkan institusi pendidikan dibawah KPM, 86 kluster atau 28.38 peratus membabitkan institusi pendidikan bukan bawah KPM dan 117 atau 38.62 peratus adalah lain-lain kluster.
“Sebanyak 100 kluster bawah institusi KPM membabitkan keseluruhan 5,494 kes. Daripada jumlah itu, 96 kluster membabitkan institusi bawah KPM manakala empat kluster atau empat peratus adalah institusi swasta yang berdaftar dengan KPM.
“Daripada 96 kluster yang membabitkan institusi bawah KPM, 84 kluster adalah membabitkan institusi berasrama. Daripada 84 kluster itu, 76 kluster membabitkan asrama harian dan lapan kluster membabitkan sekolah berasrama sepenuhnya,” katanya.