Demi kemenangan besar, jentera BN diminta tidak langgar SOP PRN Johor

0
17
Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim

CYBERJAYA – Jentera Barisan Nasional (BN) dinasihatkan supaya sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata, ia selepas SPR mengeluarkan arahan setiap ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang.

“Jentera BN khususnya Wanita perlu memahami SOP untuk berkempen ziarah rumah ke rumah, penyertaan perlu bergerak berkumpulan tidak melebihi lima orang dan SOP juga tidak membenarkan masuk ke dalam rumah atau berjumpa dengan ahli pengundi dan segala pengedaran risalah perlu dibuat di luar pagar.

“Setiap ketua jentera diminta agar sentiasa berhati-hati dan memahami segala SOP yang telah ditetapkan agar tiada melakukan kesilapan kecil yang mampu menjejaskan kemenangan mutlak BN,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Dalam pada itu, Norshida berkata, pihaknya juga menyambut baik diatas kelonggaran dan beberapa nilai tambah bagi kebenaran aktiviti kempen sepanjang 14 hari PRN itu.

Beliau berkata, kelonggaran bagi penganjuran kempen secara fizikal, ceramah, syarahan dan ziarah rumah ke rumah mampu menolong jentera BN khususnya Wanita untuk turun padang memberikan penjelasan bagi menyakini rakyat turun mengundi BN pada 12 Mac ini.

Sementara itu, Norshida turut mengingatkan penganjur bahawa setiap kempen atau ceramah sama ada di tempat terbuka atau umum perlu mendapatkan permit terlebih dahulu daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Diingatkan juga bahawa tempoh sesi berkempen ceramah dan syarahan terikat untuk dua jam dan tidak melebihi jam 10 malam dan sebarang aktiviti hiburan sepanjang kempen adalah tidak dibenarkan sama sekali,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here