
KUALA LUMPUR – Penerima vaksin premier jenis Sinovac boleh mendapatkan suntikan dos penggalak dari jenis yang sama secara walk in di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Luar Tapak bermula Isnin ini.
ProtectHealth dalam kenyataannya berkata, orang ramai yang ingin mendapatkan dos penggalak itu boleh menyemak senarai PPV di laman web http://www.protecthealth.com.my
“Vaksin Sinovac untuk dos penggalak akan tersedia di semua PPV Luar Tapak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini mengumumkan kerajaan akan menyediakan pilihan suntikan dos penggalak Sinovac bagi penerima premier vaksin berkenaan.
Hal itu berikutan keengganan orang ramai menerima dos penggalak dari jenis berbeza yang didakwa menyebabkan kesan sampingan.
Khairy bagaimanapun mengesyorkan dos penggalak dari Jenis Pfizer yang didakwa memberi perlindungan lebih tinggi berbanding Sinovac.