
CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU), Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami masalah jantung kembali pulih dan sedang berehat di rumahnya.
Menerusi satu kenyataan media Pejabat Tun Dr Mahathir, Ahli Parlimen Langkawi itu bagaimanapun masih menjalani proses rawatan pemulihan di IJN.
“Sejak Rabu lalu Tun telah dibenarkan untuk pulang ke rumah dan kemudian kembali semula ke IJN untuk jalani sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lanjut.
“Tun dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut menyampaikan ucapan terima kasih atas doa, ucapan selamat, kiriman bunga dan kad ucapan dari orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, Dr Mahathir akan terus menjalani rawatan pemulihan dan buat masa ini masih dinasihatkan untuk tidak menerima kunjungan pelawat.
Sementara itu menerusi beberapa gambar yang dikongsi dalam laman Facebook miliknya, Dr Mahathir dilihat boleh berjalan, membaca, minum dan melakukan aktiviti harian seperti biasa.
Bekas Perdana Menteri itu yang tampak sedikit keletihan bagaimanapun kelihatan ceria bersama Dr Siti Hasmah.