
ALOR SETAR – Malang menimpa dua beradik warga Myanmar apabila maut dipercayai selepas memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa dekat Bukit Malut, Langkawi semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata, polis menerima laporan berhubung kematian dua kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Nizambudin Jamaludin, 4, dan Ngei, 2, kira-kira 6.15 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati kanak-kanak tersebut ditemui oleh bapanya dalam keadaan terhuyung-hayang di kawasan berdekatan tong sampah sebelum membawa pulang kedua-duanya ke rumah.
“Bapa mangsa yang berusia 36 tahun mendapati mulut kedua-dua anaknya berbuih dan selang beberapa minit kemudian anaknya sudah tidak bernafas,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Shariman berkata, ketika kejadian bapa mangsa keluar bekerja dengan mengambil upah membaiki kelengkapan bot dan melakukan kerja kampung.
“Mereka tidak mempunyai rumah dan hanya menumpang di rumah jiran di kampung tersebut,” katanya.
Mayat kedua-dua beradik itu dihantar ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.